Ahad, 24 Ogos 2008

Peraturan Tatatertib dan Disiplin Pelatih GIATMARA.

PERATURAN TATATERTIB DAN DISIPLIN
PELATIH PUSAT GIATMARA

1. Pelatih dikehendaki sentiasa berkelakuan baik sepanjang latihan dan mestilah mematuhi kepada Peraturan Tatatertib dan Disiplin Pelatih-Pelatih GIATMARA.

2. Pada sepanjang latihan itu, Pelatih tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam apa-apa jua kegiatan luar yang sedang diikutinya atau disertainya mahupun ingin menyertainya kerana ia boleh mengganggu sesi latihan.

3. Pelatih yang mengikuti latihan di Pusat GIATMARA diwajibkan mengikuti program/jadual yang telah ditetapkan oleh Pentadbiran Am Pengurusan GIATMARA dan sedia patuh akan peraturan berkenaan tanpa bantahan.

4. Jadual kedatangan adalah keutamaan Pusat GIATMARA, semua Pelatih diwajibkan untuk hadir ke Pusat GIATMARA mengikut jadual yang telah ditetapkan. Penyingkiran akan dilakukan sekiranya Pelatih tidak dapat mengikut arahan berkenaan serta tidak hadir tiga hari berturut-turut tanpa sebab yang munasabah atau mendapatkan surat kebenaran yang boleh dipercayai.

5. Semasa berada di dalam waktu latihan, Pelatih dikehendaki sentiasa berpakaian kemas (mengikut kesesuaian suasana latihan) setiap masa. Baju T latihan boleh didapati dari pihak Pusat GIATMARA.

6. Pas pengenalan atau Tag Nama hendaklah sentiasa disematkan pada baju ‘T’ atau latihan setiap masa apabila berada di dalam kawasan Pusat GIATMARA.

7. Pelatih dimestikan menghadirkan diri dalam perhimpunan pagi serta mengikuti latihan kokurikulum, latihan kawad kaki, senaman pagi dan gotong-royong.

8. Pada sepanjang waktu membuat latihan, Pelatih TIDAK dibenarkan:

a) Memakai pakaian “Trek Suit” kecuali semasa waktu bersukan.
b) Memakai selipar, sandal dan kasut bertumit tinggi, kalau boleh gunakan kasut bertumit rendah, kasut getah atau yang bersesuaian dengan latihan bagi keselamatan Pelatih.
c) Merokok di dalam kawasan Pusat GIATMARA
d) Terbabit atau terlibat di dalam kancah Dadah, membawa serta meminum minuman keras yang memabukkan, berjudi dan sebagainya yang mana boleh mengaibkan nama mana-mana pihak.
e) Memakai barang kemas seperti Subang dan Rantai bagi Pelatih lelaki.
f) Menimbulkan atau mencetuskan hal-hal serta perkara yang boleh menyebabkan wujudnya pergaduhan atau perkelahian di antara Pelatih sesama sendiri.
g) Berada di dalam bengkel atau bilik kuliah kursus pihak lain tanpa urusan atau mendapat kebenaran dari guru kursus.
h) Makan dan minum di dalam bengkel atau bilik kuliah. Dewan makan telah disediakan.

9. Bagi Pelatih perempuan diwajibkan memakai kain tudung atau mini telekung semasa berada di dalam kawasan Pusat dan di dalam waktu latihan.

10. Bagi menjamin keselamatan Pelatih, pergerakan Pelatih hendaklah diberitahu atau dimaklumkan kepada guru kursus atau guru bengkel apabila hendak keluar dari kawasan pusat semasa waktu latihan. Bagi memudahkan urusan berkenaan Kad Pergerakan Pelatih akan diedarkan kepada Pelatih.

11. Cuti Sakit hendaklah dimaklumkan seawal mungkin setelah mendapat kebenaran dari pihak hospital atau klinik kerajaan. Tanpa berbuat demikian tindakan disiplin akan diambil.

12. Selepas tamat waktu latihan, Pelatih tidak dibenarkan berada di dalam kawasan Pusat GIATMARA kecuali ditemani oleh guru kursus berkenaan.

13. Peralatan kerja bengkel dan peralatan sukan tidak dibenarkan sama sekali dibawa keluar dari kawasan Pusat GIATMARA tanpa kebenaran guru bengkel atau guru sukan.

14. Setiap aktiviti atau latihan projek luar yang hendak disenggarakan atau dikerjakan hendaklah mendapat kebenaran serta perlu memohon 2 hari dari tarikh yang diperlukan dari pihak Pengurus Pusat GIATMARA terlebih dahulu.

15. Pelawat, tetamu, kaum keluarga dan sebagainya yang hendak berurusan dengan Pelatih hendaklah memaklumkan serta mendapat kebenaran dari pihak Pengurusan terlebih dahulu dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bengkel. Bilik perjumpaan disediakan untuk urusan berkenaan.

16. Sekiranya ada Pelatih yang mempunyai masalah atau persoalan yang hendak dikemukakan boleh berbuat demikian kepada guru kursus atau mana-mana guru yang difikirkan sesuai untuk merujuk masalah berkenaan.

17. Apabila hendak membuat perjumpaan peribadi dengan Pengurus Pusat GIATMARA hendaklah memaklumkan serta mendapat kebenaran melalui guru kursus atau guru bengkel terlebih dahulu.

18. Kenderaan Pelatih hendaklah ditempatkan di kawasan atau tempat letak kenderaan yang telah disediakan untuk Pelatih.


19. Pihak GIATMARA tidak akan bertanggungjawab di atas sesuatu kecederaan, kemalangan atau kematian yang berpunca dari kelalaian atau kecuaian atau ketidaksempurnaan kerja yang dilakukan berbangkit daripada sesuatu kejadian kepada Pelatih oleh Pihak GIATMARA, wakil-wakilnya atau pekerja-pekerjanya semasa melaksanakan kerja-kerja yang dilakukan mereka.

20. Dalam hal-hal berkenaan keselamatan Pelatih dalam latihan, Pelatih adalah dimestikan membeli Insuran Berkelompok.

Jika didapati bahawa Pelatih telah tidak mematuhi apa-apa kehendak atau syarat yang dibuat di atas, kecuali telah mendapat kebenaran Pihak GIATMARA, maka dan dalam mana-mana hal yang demikian itu bolehlah Pihak GIATMARA mengikut budi-bicaranya yang mutlak memberhentikan latihannya atau di mana difikirkan perlu Pelatih dikenakan tindakan disiplin yang sewajarnya.

0 comments:

COPYRIGHT 2008